DASAR MAJIKAN BERMUSIM YANG DIIKTIRAF (RSE)
Lembaran Fakta Pekerjaan
Maklumat penting untuk pekerja di New Zealand di bawah dasar Majikan Bermusim Yang Diiktiraf (RSE).
Selamat Datang ke New Zealand. Visa RSE anda membenarkan anda bekerja untuk Majikan Bermusim yang Diiktiraf yang telah menawarkan anda pekerjaan sehingga permit tersebut tamat tempohnya ataupun dibatalkan. New Zealand mempunyai peraturan mengenai hak-hak anda sebagai pekerja dan apa yang boleh anda lakukan. Amatlah penting untuk anda mengetahui perkara ini.
Hak-Hak anda semasa bekerja di New Zealand
Berikut adalah hak undang-undang asas anda sebagai seorang pekerja di New Zealand.
- Anda mesti mempunyai perjanjian pekerjaan yang bertulis yang telah dipersetujui oleh anda dan majikan anda. Majikan anda mesti memberi anda satu salinan perjanjian tersebut. Perjanjian pekerjaan anda akan memberitahu anda maklumat tentang gaji anda, pemotongan yang dibuat dan syarat-syarat pekerjaan yang lain.
- Perjanjian pekerjaan anda akan menyatakan terma dan syarat mengenai kelayakan anda yang merangkumi perkara-perkara seperti waktu kerja, hari cuti dan cuti sakit yang dibenarkan. Simpan satu salinan perjanjian tersebut untuk diri anda.
- Majikan anda mesti menyediakan tempat kerja yang selamat untuk anda dengan latihan, penyeliaan dan kelengkapan yang sempurna.
- New Zealand mempunyai kadar upah minimum dan anda tidak boleh dibayar kurang daripada kadar tersebut.
- Kadar upah minimum disemak semula setiap tahun. Maklumat mengenai kadar upah minimum semasa disediakan di laman web Jabatan Buruh www.dol.govt.nz/er/pay.
Apa yang mesti anda lakukan
- Anda hanya dibenarkan bekerja bagi majikan untuk pekerjaan yang dinyatakan pada visa kerja RSE anda.
- Anda dikehendaki memenuhi semua syarat di dalam kontrak yang anda tandatangani dengan majikan anda.
- Anda mesti menyiapkan tugas mengikut cara majikan anda telah melatih anda.
- Pastikan anda tiba tepat pada masanya dan boleh diharap dalam menjalankan kerja anda dan bekerja dengan tekun. Sekiranya anda tidak memenuhi kewajipan anda yang sah di tempat kerja, anda boleh dipecat.
- Bekerja secara berterusan dan jaga diri anda semasa menjalankan kerja. Jika anda tidak faham sesuatu, jangan segan untuk tanya penyelia anda. Tidak ada apa-apa untuk dimalukan dalam hal ini dan majikan berharap anda bertanya soalan, lebih-lebih lagi jika anda masih baru dalam pekerjaan tersebut.
- Anda mesti meninggalkan New Zealand apabila kerja anda selesai, atau sebelum visa RSE anda tamat tempohnya atau jika permit anda dibatalkan. Jika anda menetap di New Zealand secara haram, anda mungkin dipindahkan dan dilarang kembali ke New Zealand bagi tempoh lima tahun.
Apa majikan anda mesti lakukan
Majikan anda akan membayar separuh daripada tambang kapal terbang anda dari negara asal anda ke New Zealand.
Majikan RSE anda akan mengatur penginapan untuk anda sepanjang tempoh anda berada di New Zealand, tetapi adalah menjadi tanggungjawab anda untuk membayar bagi penginapan tersebut.
Pekerja migran mesti diambil untuk bekerja mengikut terma dan syarat yang sama seperti pekerja New Zealand. Anda akan dibayar upah yang sama seperti warga New Zealand yang menjalankan kerja yang sama dan dengan tahap pengalaman yang sama.
Anda akan mendapati bahawa pekerja yang lebih berpengalaman selalunya menerima bayaran yang lebih banyak berbanding pekerja baru. Anda juga seharusnya menerima kadar yang lebih tinggi sebaik sahaja anda telah memperoleh pengalaman dan mencapai tahap kemahiran yang lebih tinggi.
Di bawah peraturan Imigresen New Zealand, majikan anda wajib:
- bayar anda kadar upah yang sama untuk tugas yang sama berbanding apa yang mereka akan bayar kepada seorang warga atau pemastautin New Zealand dengan tahap pengalaman yang sama
- pastikan anda dimasukkan dalam suatu program induksi
- pastikan anda mempunyai tempat tinggal yang sesuai
- sediakan keperluan jagaan pastoral anda, seperti perkhidmatan dan kumpulan masyarakat yang membantu anda dengan isu-isu kesihatan, membeli-belah, sukan dan menghadiri tempat beribadat
- pastikan anda mempunyai pengangkutan untuk berulang-alik dari tempat kerja, sediakan bantuan dengan khidmat perbankan peribadi
- sediakan peralatan perlindungan peribadi yang diperlukan
- sediakan kemudahan di tapak kerja (seperti tandas dan air bersih)
- dan sediakan khidmat penterjemahan bahasa (seperti mana wajar).
Apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku
- Jika anda bercanggah pendapat dengan majikan anda, yang merangkumi jumlah anda dibayar atau keadaan tempat kerja anda, cuba selesaikan isu tersebut serta-merta dengan majikan anda atau dengan mengikuti tatacara yang terkandung dalam perjanjian pekerjaan anda.
- Jika anda ada sebarang kemusykilan, tolong bincangkan perkara tersebut dengan majikan anda atau ketua pasukan anda. Masalah tidak boleh ditangani jika orang tidak tahu tentangnya. Jika respons yang diterima kurang memuaskan, hubungi Inspektor Buruh, atau Pegawai Pematuhan.
- Jika sesuatu masalah tidak boleh diselesaikan, pihak yang bertelagah boleh melakukan proses pengantaraan, sama ada melalui perkhidmatan pengantaraan Jabatan Buruh atau melalui pengantara bebas. Jika ini tidak menyelesaikan masalah, majikan atau pekerja boleh memohon kepada Pihak Berkuasa Hubungan Pekerjaan untuk mendapatkan penentuan.
- Inspektor Buruh RSE dan Pegawai Pematuhan dari Jabatan Buruh dapat membantu anda menyelesaikan apa-apa masalah yang anda alami dengan Majikan anda.
- Jika anda diberhentikan daripada pekerjaan anda, anda tidak lagi dibenarkan berada di New Zealand. Jika anda melanggar undang-undang New Zealand, pekerjaan anda mungkin dihentikan, dan anda mungkin diminta untuk meninggalkan New Zealand.
Cuti tahunan, cuti umum dan cuti sakit
Cuti tahunan
- Pekerja sementara yang bekerja di New Zealand untuk tempoh kurang daripada satu tahun berhak menerima lapan peratus gaji cuti tahunan daripada jumlah upah sebelum cukai dibayar. Sesetengah majikan sertakan gaji cuti di dalam gaji mingguan anda dan yang lain pula akan membayarnya kepada anda pada penghujung tempoh pekerjaan anda. Jika ia disertakan dalam gaji mingguan anda, anda harus mengenal pastinya sebagai kemasukan berasingan dalam slip gaji anda. Gaji cuti ialah upah dan oleh itu dikenakan cukai. Sebagai contoh: Jika anda biasanya dibayar $15.00 bagi setiap tong epal yang anda isi, dan anda isi 40 tong dalam minggu tersebut , anda akan dibayar $600 bagi minggu itu. Jika majikan anda sertakan gaji cuti tahunan anda ke dalam gaji mingguan anda, anda akan dibayar $648. Jumlah tambahan $48.00 (iaitu lapan peratus daripada $600) hendaklah ditunjukkan secara berasingan sebagai gaji cuti tahunan di dalam slip gaji anda
Cuti umum
- Anda juga akan dibayar upah bagi cuti-cuti umum yang jatuh pada hari anda biasanya bekerja jika hari itu bukan cuti umum. New Zealand mempunyai 11 cuti umum dalam setahun. Cuti-cuti umumnya ialah: Hari Krismas (25 Disember); Hari Boxing (26 Disember); Hari Tahun Baru (1 Januari); 2 Januari; Hari Waitangi (6 Februari); Good Friday (tarikh berubah-ubah setiap tahun); Easter Monday (tarikh berubah-ubah setiap tahun); Hari ANZAC (25 April); Hari Keputeraan Permaisuri (Isnin pertama dalam bulan Jun); Hari Buruh (Isnin Ke-4 dalam bulan Oktober); dan Hari Ulang Tahun Wilayah (tarikh tersebut bergantung pada wilayah tempat anda bekerja.)
- Anda tidak perlu bekerja pada cuti umum New Zealand melainkan perjanjian pekerjaan anda menyatakan anda perlu bekerja. Jika anda bekerja pada cuti umum, anda akan dibayar sekurang-kurangnya kadar satu masa setengah bagi waktu sebenar yang anda bekerja pada cuti umum. Tidak kira sama ada anda dibayar mengikut kadar upah atau sebahagian daripadanya. Sebagai contoh: jika anda biasanya dibayar $15.00 sejam, pada cuti umum anda harus dibayar sekurang-kurangnya $22.50 sejam iaitu $15.00 X 1.5 atau satu masa setengah.
- Jika anda bekerja pada cuti umum yang jatuh pada hari kerja biasa anda, majikan anda mesti memberi anda cuti sehari di masa kelak. Ini disebut ‘Hari Alternatif’. Jika anda belum mengambil sebarang cuti hari alternatif sehingga tamat tempoh pekerjaan anda, majikan anda wajib membayar anda untuk hari-hari ini mengikut kadar gaji hari terakhir pekerjaan anda.
- Anda dan majikan anda boleh bersetuju bahawa anda memindahkan cuti umum anda ke hari lain selagi ini adalah secara bertulis dan hari yang anda pindahkan cuti umum berkenaan adalah hari bekerja untuk anda.
- Jika anda tidak bekerja pada cuti umum, tetapi ia hari kerja biasa anda, majikan anda masih wajib membayar anda bagi hari tersebut seperti biasa.
Cuti sakit dan cuti perkabungan
- Selepas enam bulan bekerja, anda layak menerima lima hari cuti sakit dan tiga hari cuti perkabungan. Anda boleh mengambil cuti sakit jika anda jatuh sakit atau tercedera dan mengambil cuti perkabungan sekiranya seorang ahli keluarga rapat meninggal dunia semasa anda bekerja di New Zealand.
Anda mungkin perlu menyediakan sijil perubatan dalam tempoh tiga hari selepas mengambil cuti sakit dan majikan mesti membayar bagi perbelanjaan anda untuk mendapatkan bukti ini.
- Di bawah dasar RSE, anda mesti memegang, atau diluluskan untuk, insurans perubatan yang boleh diterima bagi tempoh anda menetap di New Zealand.
Tempoh percubaan
- Anda dan majikan anda boleh bersetuju mengenai tempoh percubaan sehingga 90 hari. Perjanjian ini mesti terdapat di dalam perjanjian pekerjaan anda yang ditandatangani sebelum anda memulakan kerja. Jika anda diberhentikan sebelum tempoh percubaan selesai, anda tidak boleh menimbulkan aduan peribadi kerana diberhentikan secara tidak adil. Anda tidak boleh diambil bekerja berdasarkan tempoh percubaan lebih daripada sekali dengan majikan yang sama.
Maklumat yang dapat membantu
- Anda mesti menyimpan rekod maklumat sendiri tentang hari dan jam anda bekerja. Semak rekod tersebut dengan slip gaji yang anda terima.
- Anda perlu nombor IRD (Inland Revenue / Jabatan Hasil Dalam Negeri) untuk bekerja di New Zealand. Majikan anda boleh membantu anda memperoleh nombor ini, atau anda boleh hubungi Jabatan Hasil Dalam Negeri di talian 0800 227 774 (panggilan percuma jika panggilan dibuat di New Zealand).
- Anda serta majikan anda tidak boleh tukar syarat-syarat perjanjian pekerjaan anda tanpa saling bersetuju antara anda dan majikan anda.
- Jika anda ada sebarang kemusykilan tentang status imigresen atau dasar imigresen Majikan Bermusim yang Diiktiraf, sila hubungi Jabatan Imigresen New Zealand di talian 0508 55 88 55 atau hubungi Inspektor Buruh, Pegawai Pematuhan atau Pengurus Perhubungan tempatan anda.
- Jika anda patuh pada peraturan imigresen dan pekerjaan semasa anda di New Zealand, anda boleh kembali untuk bekerja untuk RSE pada musim berikutnya. Tidak ada had atas bilangan kali anda datang ke New Zealand sebagai pekerja di bawah dasar RSE jika anda dipelawa dan sanggup berbuat demikian.
Pihak hubungan anda
Jika anda ada sebarang soalan atau kemusykilan semasa bekerja di New Zealand, anda boleh hubungi Inspektor Buruh, Pegawai Pematuhan atau Pengurus Perhubungan tempatan anda. Pegawai-pegawai ini boleh menolong anda dan memberi apa-apa bantuan atau maklumat yang anda perlu. Anda boleh hubungi pegawai-pegawai ini di talian 0800 20 90 20 (panggilan percuma jika panggilan dibuat di New Zealand).
